Dunia Kita

Kita Mencegah Sogokan dan Rasuah

Dalam bahagian ini, kita akan merangkumi:

Pencegahan Sogokan & Rasuah — Bayaran Pemudahan — Pegawai Kerajaan

Komitmen Kita

Sentiasa bekerja dengan integriti. Kita tidak sekali-kali menawarkan atau menerima sogokan daripada sesiapa, terutamanya daripada pegawai kerajaan – dan ingat, kita bertanggungjawab bukan sahaja ke atas tindakan kita sendiri, tetapi juga ke atas tindakan sesiapa sahaja yang mewakili Jabil.

Bagi kita, perkara ini mudah dilakukan: menawarkan atau menerima sogokan daripada sesiapa sahaja, pada bila-bila masa, tetap sentiasa salah.

Sebab Perkara Ini Penting

Sogokan dan rasuah melanggar nilai Jabil, Tata kita dan undang-undang negara tempat kita beroperasi. Kita melindungi pekerja dan reputasi kita dengan menentang rasuah dan hanya bekerja dengan rakan niaga yang berkongsi komitmen berkaitan dengan integriti dengan kita.

Sogokan kepada pegawai kerajaan dan sogokan kepada kakitangan komersial, termasuk pembayaran suapan atau sogokan kepada mana-mana pekerja Jabil, pembekal Jabil atau pelanggan Jabil, adalah dilarang oleh Tata ini.

Cara Kita Melakukan Perkara yang Betul

  • Tiada Bayaran yang Tidak Wajar

    Tidak memberikan atau menerima sogokan atau wang suapan, menawarkan bayaran pemudahan, atau menerima atau menawarkan sebarang jenis pembayaran yang tidak wajar.

  • Dapatkan Kelulusan Terlebih Dahulu

    Mendedahkan dan mendapatkan kelulusan terlebih dahulu (seperti yang dinyatakan dalam Dasar Pencegahan Sogokan & Rasuah Global kita (Global Anti-Bribery & Anti-Corruption Policy) untuk sebarang perbelanjaan berkaitan dengan kerajaan, termasuk makanan, hiburan, dan hadiah.

  • Buku Kira-kira yang Tepat

    Menyimpan buku kira-kira dan rekod yang tepat supaya pembayaran dapat dinyatakan dan didokumenkan dengan jujur.

  • Peka

    Menyedari bahawa perbuatan tidak melaporkan sogokan merupakan tindakan yang menyalahi Tata ini.

  • Pencegahan Sogokan

    Ikut piawaian pencegahan sogokan dan rasuah kita ketika memilih pihak lain yang menyediakan perkhidmatan bagi pihak kita. Hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan mengawasi tingkah laku mereka. Jangan sekali-kali “menutup mata”. Semua perkhidmatan mestilah dinyatakan dengan terperinci dan didokumenkan dengan teliti dalam kontrak, skop kerja, pesanan pembelian dan invois.

  • Ahli Keluarga

    Mengetahui bahawa memberikan hadiah kepada ahli keluarga pegawai kerajaan boleh dianggap sebagai sogokan.

Kesan Global Sogokan dan Rasuah

Kita tahu dengan memberikan sogokan boleh merosakkan reputasi kita dan dikenakan denda serta yuran berjuta-juta ringgit—tetapi ada lebih banyak perkara yang dipertaruhkan. Syarikat yang memberikan sogokan mungkin memperoleh perniagaan walaupun mutu produk dan perkhidmatan mereka lebih rendah berbanding dengan kita. Selain itu, rasuah juga sangat berbahaya kepada negara yang sedang membangun kerana wang daripada sogokan dan rasuah selalu digunakan untuk menyokong rejim yang korup.

Oleh sebab itu, kita mempunyai dasar toleransi sifar kepada sogokan dan rasuah. Sogokan dan rasuah bukan sahaja tidak sah di sisi undang-undang, malah sangat bertentangan dengan cara kita menjalankan perniagaan.

Sesetengah aktiviti kita lebih terdedah kepada risiko sogokan dan rasuah. Jika anda mempunyai hubungan dengan pegawai dan agensi kerajaan tempatan, seperti agensi lesen bangunan; pemeriksa keselamatan; jabatan bomba; pemeriksa alam sekitar, buruh, elektrik, air dan pembetungan, atau organisasi kerajaan antarabangsa, anda perlu lebih berhati-hati. Amalkan langkah berjaga-jaga dan dapatkan kelulusan awal yang diperlukan untuk vendor yang berurusan dengan kerajaan kerana mereka menanggung risiko yang lebih tinggi. Semak dasar kita dan hubungi Pasukan Etika dan Pematuhan Global untuk sebarang soalan.

Informasi Sepintas Lalu

Sogokan merupakan apa-apa yang bernilai yang diberikan untuk mempengaruhi tingkah laku seseorang dalam kerajaan atau sektor swasta untuk mendapatkan kelebihan perniagaan, kewangan, atau komersial. Sogokan boleh termasuk sesuatu yang selain wang tunai. Hadiah, bantuan, atau bahkan tawaran pinjaman atau pekerjaan boleh dianggap sebagai sogokan. Sebelum menawarkan apa-apa yang bernilai, rujuk dasar kita dan ajukan soalan tentang perkara yang boleh diterima (dan tidak boleh diterima).

Pegawai kerajaan merangkumi pekerja kerajaan, tetapi istilah ini juga meliputi pekerja perniagaan milik kerajaan serta pegawai rasmi parti, calon untuk jawatan politik, ahli Keluarga Diraja dan pekerja organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia.

Bayaran pemudahan biasanya merupakan bayaran kecil kepada pegawai kerajaan peringkat rendah yang bertujuan untuk mendorong pegawai tersebut melaksanakan tanggungjawab yang sememangnya menjadi kewajipan sah mereka.

Melakukan Perkara yang Betul – Ambil Tindakan

Saya bekerja di negara yang dianggap mempunyai risiko sogokan dan rasuah yang tinggi. Kami sedang mempertimbangkan untuk membayar seorang perunding yang kadangkalanya bekerja dengan kerajaan tempatan dan dikehendaki menghadiri mesyuarat di A.S. Kami juga akan menyediakan tiket ke konsert selepas mesyuarat. Adakah ini dibenarkan?

Anda perlu menyemak situasi ini dengan Pasukan Etika dan Pematuhan Global. Takrifan pegawai kerajaan di A.S. dan di bawah Akta Sogokan UK mungkin lebih luas daripada undang-undang tempatan dan kemungkinan besar termasuk perunding yang dilantik oleh kerajaan tempatan. Jika hal ini berlaku, tiket acara yang dicadangkan tidak akan diluluskan kerana acara ini tidak berkaitan dengan perniagaan.

Melakukan Perkara yang Betul – Ambil Tindakan

Saya telah diberikan kuasa untuk mengupah seorang perunding bagi membantu kami mendapatkan permit tempatan yang diperlukan untuk projek baru. Mereka meminta bayaran pendahuluan sebanyak $40,000 untuk “mempercepatkan proses”. Adakah saya perlu bersetuju dengan pembayaran ini?

Tidak. Sebelum melibatkan perunding tersebut, anda perlu mendapatkan panduan daripada Pasukan Etika dan Pematuhan Global serta menjalankan usaha wajar terhadap perunding itu. Sebelum bersetuju untuk membuat sebarang pembayaran, kita perlu mengetahui saluran penggunaan wang tersebut. Kita mestilah mengelakkan sebarang kekaburan dalam perkhidmatan yang melibatkan kerajaan. Semua perkhidmatan hendaklah didokumenkan dengan terperinci dan teliti dalam kontrak, skop kerja, pesanan pembelian dan invois. Jabil hendaklah memastikan wang ini tidak digunakan sebagai sogokan atau bayaran pemudahan. Anda perlu berbincang dengan Pasukan Etika dan Pematuhan Global tentang perkara ini sebelum anda melakukan apa-apa tindakan.

Melakukan Perkara yang Betul – Ambil Tindakan

Seorang bakal pembekal menawarkan saya $1,000 untuk memasukkan mereka dalam Senarai Pembekal yang Diluluskan (AVL) Jabil. Mereka layak untuk menjalankan kerja tersebut dan harga yang ditawarkan juga berdaya saing. Bolehkah saya menerima wang tersebut dan menambahkan pembekal tersebut dalam AVL untuk Jabil?

Tidak, anda tidak boleh berbuat demikian. Wang atau sebarang bentuk lain yang bernilai dianggap sebagai sogokan. Sogokan merupakan apa-apa yang bernilai yang diberikan untuk mempengaruhi tingkah laku seseorang bagi mendapatkan kelebihan perniagaan atau komersial. Hubungi Pasukan Etika dan Pematuhan Global: atau Talian Penting Integriti Jabil supaya perkara ini dapat dinilai.

Dalam bahagian berikut, kita akan merangkumi:

Pegawai Kerajaan Pemerolehan Pertanyaan Kerajaan

Teruskan Membaca

Kita Bekerja bersama Kerajaan dengan Penuh Tanggungjawab